Tuesday, February 16

Terima Kasih Allah

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt..
Google
Aku mulakan entri pertama ini dengan penuh kesyukuran.Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam, yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

 Amat beruntung rasanya jika hati setenang air di tasik Nilai Impian, fikiran selapang padang bola, bernafas  senyaman udara bersih di puncak gunung dan kudrat sekuat semangat para Mujahidin yang cintakan mati syahid. Alhamdulillah, lafaz kesyukuran lillah kerana mengurniakan aku nikmat iman dan nikmat Islam.
Aku memutuskan blog ini sebagai medium perkongsian dan penyebaran ilmu khususnya  mengenai ilmu-ilmu agama kita iaitu agama Islam,ad-Din yang Kamil lagi Syumul. Tujuanku hanya ingin lebih mengenali Islam, lebih taqarrub dengan Allah, dapat memperbaiki kelemahan diri dan dapat mengamalkan segala perintah Allah dengan lebih ikhlas dan khusyu' serta tawadduk.


Allahurabbi,
Di kala aku melakar impianku di atas kanvas, aku cuba meyakinkan hatiku, aku akan dapat mencapainya.
Kadang kala aku leka dan lena diulit mimpi kosong di mana aku sandarkan segala harapan dan impian.
Aku cuba merencana strategi dengan baik dan mencongak, menambah serta menolak segala halangan yang bakal aku tempuhi hanya untuk menggenggam mimpi yang tak pasti. Astaghfirullahalazim, aku jaga dari angan-angan. Dengan izin Allah, Dia mengingatkan aku agar sandarkan segala harapan dan impian kepada-Nya.

Allahuakbar, agungnya kuasa al-Khaliq yang Maha mencintai makhluk-Nya. Terima kasih Allah atas kurnian-Mu atas pertambahan usiaku, kesihatan tubuh badanku, kekuatanku untuk terus berada di jalan-Mu dan kasih sayang serta cinta yang terjalin di hati ini.

Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana Engkau tidak pernah biarkan aku keseorangan. Meskipun diri ini pernah hilang punca dan jatuh tersungkur, Kau hulurkan aku kekuatan untuk berdiri mencari solusi. Di saat aku menangis menghadap kiblat-Mu, kau hadiahkan aku ketenangan hati. Di kala aku kesunyian, kau kurniakan aku cinta yang mendalam,cinta pada al-Khaliq. 

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim.
Terima kasih atas kasih sayang-Mu. Aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim.
Terima kasih atas dugaan, musibah dan kesakitan yang Kau anugerahkan. Aku bahagia menempuhnya.
Terima kasih atas kurnian dan cahaya keIslaman yang Kau pancarkan. Aku gembira melaluinya.

Ya Rabbi,
Aku tidak akan gentar dengan cubaan dan dugaan selepas ini. Selagi aku terdaya untuk bersabar, aku akan bentang dan hamparkan selaut kesabaran.
Aku tidak akan melarikan diri lagi pabila berhadapan dengan cacian. Selagi aku terdaya untuk berdiri, aku akan menyusun langkah mara dan tampil membunuh cacian dan makian.
Aku tidak akan membiarkan air mata ini menitis lagi atas kesedihan dan kelemahanku. Akanku titiskan ia di atas bentangan sejadah di saat aku sujud memohon maghfirah-Mu.

Ya Allah,
Ucapan terima kasih ini aku dedikasikan kepada-Mu, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Asykuru ilAllah..
Doaku, moga aku terpelihara dari lalai dan leka ciptaan syaitan.

Google
  
Moga kita sama-sama berada dalam rahmat Allah dan sentiasa dikasihi-Nya. Aameen =)

Truly,

No comments:

Post a Comment

yang kisah