Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.
Bismillahirrahmanirrahim.
Setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan buat Allah S.W.T, al-Khaliq alam semesta. Sesungguhnya Allah tidak mencipta makhlukNya dengan sia-sia. Bahkan kita, manusia memegang satu amanah yang telah dipertanggungjawabkan Allah di mana amanah inilah yang menjadi titik tolak kita ke syurga atau neraka.
“Dan berilah berita gembira orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”
(al-Baqarah:25)
Berdasarkan kalam Allah S.W.T di atas, syurga adalah ganjaran bagi mereka yang berjaya memikul amanahNya. Pada kali ini, aku ingin berkongsi mengenai jumlah perempuan dan lelaki di syurga dan neraka yang telah kubaca dalam buku ‘Jalan ke Syurga’ tulisan Abdul Qadir Ahmad ‘Atha. Sebagai perempuan, aku amat berharap petikan hadis-hadis di bawah dapat menyedarkan aku dan anda semua betapa kita perlu berusaha untuk menjadi hamba yang baik.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“ Rombongan pertama yang masuk syurga laksana bulan purnama sedangkan rombongan berikutnya laksana bintang yang paling cemerlang di langit. Setiap orang mempunyai dua orang isteri yang kelembutan betisnya terlihat dari balik daging.”
Di dalam syurga,tidak ada yang hidup seorang diri, menjanda atau menduda.Perkara ini berdasarkan hadis riwayat Ahmad dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
“ Setiap lelaki dari penduduk syurga mendapat dua orang isteri berupa bidadari yang masing-masing memiliki 70 buah perhiasan. Keindahan betisnya terlihat dari balik pakaiannya.”
Seterusnya, di dalam hadis muttafaqqun alaih, dari Jabir bin Abdillah r.a diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W berkata kepada para wanita,” Sungguh, yang masuk syurga dari kamu hanya sedikit.” Seorang wanita bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah SAW? ” Jawab Nabi, “ Kerana kamu sering mengutuk dan tidak tahu bersyukur.”
Hadis ini menunjukkan bidadari yang diciptakan di syurga lebih banyak jumlahnya daripada perempuan dunia. Juga disebutkan di dalam hadis Bukhari dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“ Hai segenap wanita! Bersedekahlah dan perbanyakkan istighfar kerana aku melihat kamu lebih banyak di neraka. “ Seorang perempuan bertanya, “ Ya Rasulullah SAW, mengapa demikian? “ Rasulullah SAW menjawab, “ Kerana kamu sering mengutuk dan mengkufuri pergaulan. Aku tidak melihat seperti kamu, orang-orang yang kurang akal dan kurang Din dapat mengalahkan mereka yang cukup akal dan cukup Din. ” Perempuan itu bertanya, “ Ya Rasulullah SAW, mengapa perempuan disebut kurang akal dan kurang Din? “ Rasulullah SAW menjawab, “ Kamu kurang akal kerana persaksian dua orang kamu sama dengan persaksian seorang lelaki. Kamu juga mengalami masa haid yang menyebabkan kamu tidak solat dan puasa. Itu bererti Din kamu kurang.”
Begitulah sedikit sebanyak yang boleh aku kongsikan berdasarkan pembacaanku. Moga kita sama-sama mendapat manfaat dan mengambil iktibar dari entri ini. Harapanku, moga kita sama-sama perbetulkan diri dan sedaya upaya menepis godaan syaitan yang durjana, insyaAllah.
Sekadar berkarya untuk tatapan semua:
Aku kaum Hawa yang terkenal dengan lemah,
Tapi takkanku pamerkan lemah dalam cerah,
Tidak sesekali aku biarkan diriku ini betah,
Dengan bertaut, berpaut, bergantung pada lemah,
Biar aku lelah tapi aku takkan sesekali pasrah,
Allah menjadikanku dengan pelbagai anugerah,
Akan aku cuba bangkit untuk menjadi solehah,
Buat semua, kita terlalu emosi untuk meluah,
Jangan biarkan akal kita tunduk diludah,
Diludah dengan emosi yang amat parah,
Elakkanlah lidah dari berbicara terlalu petah.
Kepetahan tanpa ilmu akan buat diri jadi gundah,
Gunalah saki baki kehidupan dengan berfaedah,
Agar manfaatnya dirasai tanpa megah,
Istimewa buat para wanita yang amat indah,
Marilah sama-sama kita bermujahadah,
Melentur kasih dan budi penuh hasanah,
Berjihad, beristighfar dan bersedekah,
Moga kita terpilih untuk ke Jannah,
Doaku moga kita sentiasa dalam rahmat Allah.
~ fifi~
Truly,
jagalah setiap perlakuan yg kita lakukan .. kerana setiapnya akan dicatat dan akan di persoalkan di akhirat kelak ..
ReplyDeletemoga kita sama2 sentiasa berada di bawah rahmat Allah, aameen..
ReplyDelete